Friday, April 30, 2021

Sajat gagal rayu keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam

 

Usahawan kontroversi Nur Sajat Kamaruzzaman dan dua pihak lagi gagal mendapat kebenaran untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memerintahkan mereka membayar ganti rugi hampir RM200,000 kepada pengasas OWA Resources, Nurwati Hussin.

Peguam OWA Resources, Nurul Hafidzah Hassan berkata Mahkamah Rayuan juga mengarahkan Sajat membayar kos guaman sebanyak RM5,000.

“Keputusan notis usul kebenaran merayu ditolak oleh mahkamah,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, OWA Resources memfailkan saman terhadap Nur Sajat Aesthetic di atas kegagalan syarikat itu membekalkan bengkung dan girdle yang dipesan oleh stokis itu antara Februari dan April tahun 2018.

Sebelum kes dibawa ke Mahkamah Tinggi, Nurwati menang kes pelanggaran kontrak tersebut di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Januari 2020.

Mahkamah Sesyen mendapati peguam plaintif membuktikan pada keseimbangan kemungkinan (on the balance of probabilities) yang ketiga-tiga defendan - Sajat, pembantunya Ashaari Maznan, dan syarikat Nur Sajat Aesthetic - telah melanggar kontrak perniagaan dengan Nurwati.

Selepas itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menerima rayuan OWA Resources berkaitan ganti rugi dan kos yang tidak diberikan oleh Mahkamah Sesyen.

Pada Disember tahun lepas, Mahkamah Tinggi setuju ada bukti yang cukup bagi meningkatkan bayaran, menjadikan jumlah ganti rugi dan dan kos yang perlu dibayar kepada OWA Resources hampir RM200,000.

Semasa perbicaraan, Nurwati ditahan polis untuk disoal siasat apabila Sajat dilaporkan membuat laporan polis palsu yang mendakwa dia menyelewengkan wang syarikat dan melakukan pecah amanah sebanyak RM1 juta.

Saman balas Sajat terhadap Nurwati juga ditolak Mahkamah Sesyen yang memutuskan ia bersifat fitnah.

“Ingin saya tegaskan bahawa anak guam saya bukannya penjenayah seperti digambarkan pihak-pihak tertentu sebelum ini dan kemenangan kes ini merupakan testimoni yang mahkamah setuju dengan semua bukti yang telah dibentangkan.

“Keputusan hari ini telah memulihkan dan mengukuhkan imej, reputasi dan jenama perniagaan OWA Resources yang dilanda krisis undang-undang, ekonomi dan persepsi negatif.

"Anak guam saya kini berada di landasan yang betul untuk terus berjaya dengan perniagaan mereka,” tambah Nurul Hafidzah.

Sementara itu Nurwati melahirkan perasaan syukur dan terima kasih kepada peguamnya, Nurul Hafidzah dan Zeti Zulkifli, yang menurutnya berjaya mendapatkan semula modal perniagaan bagi stok yang tidak dibekalkan dan juga membantunya semasa dalam tahanan polis.

“Nama saya dan syarikat kini telah dibersihkan dan saya hargai bantuan yang telah diberikan oleh semua pihak yang berkenaan sepanjang proses membuktikan kebenaran.

“Saya sendiri nampak barisan peguam saya bekerja dengan gigih bagi memastikan saya menang kes ini.

"Terima kasih juga kepada semua pihak berkepentingan syarikat termasuk pekerja dan para pelanggan yang masih membantu saya,” ujar Nurwati yang merupakan bekas stokis utama Sajat.

https://www.malaysiakini.com/hiburan/572843

Isu Sebenar Covid di China - Isu Marathon Xiamen

Kehadiran sebenar marathon itu hanya 11,240 orang peserta dan beberapa ribu hadirin, bukan 90,000 ke 100,000 sebagaimana yang diviralkan.

Masa pertandingan itu kes Covid harian di seluruh China purata hanya 10 kes. Bandingkan dengan Malaysia yang ribuan kes.

Jarak antara Wuhan (tempat meletusnya Covid) dan Xiamen ( tempat pertandingan) lebih kurang 1000 km.

Sepanjang tempoh Covid di sekitar Xiamen hanya ada 590 kes dan 1 kematian. Bandingkan dengan jumlah kes dna kematian di Malaysia. Di Wuhan, ada 68000 kes dan 4500 kematian.

Situasi Sebenar Covid di Al-Aqsa _ Isu Solat Jemaah Rapat

 Hari tu dapat maklumat kurang tepat mengenai penduduk Palestin solat Rapat di Masjidil Aqsa.

Kisah sebenarnya bagaimana? Jom baca Tulisan Sdr Nadir Al Nuri yang berada di Bumi Palestin sana.

SOLAT DI MASJID AL-AQSA TAK IKUT SOP ILLUMINATI, PENJARAKAN SAF SOLAT SESAT?

Semakin lama semakin ramai yang bertanya kepada saya betulkah mereka yang menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa tidak menjarakkan saf malah solat rapat-rapat dan terpelihara Allah daripada mengikuti SOP buatan manusia dan Illuminati untuk memecah-belahkan saf solat?

Kerana melihat terlalu ramai yang mencipta maklumat dan merepek-merapu, saya terpaksa juga menjawab isu ini dan untuk mendapatkan kepastian bahawa jawapan saya juga tidak melulu saya telah berhubung dengan rakan-rakan lain di Tebing Barat dan jurnalis di Palestin untuk mendapatkan pengesahan terlebih dahulu.

Jawapan kami seperti berikut :

1. Sejak awal pandemik penduduk Palestin di Kota Al-Quds mengamalkan SOP penjarakan dan memakai topeng muka seperti baki umat Islam yang lain mengikut saranan dan nasihat ulama' yang punya hak untuk berfatwa. Gambar yang saya kongsikan membuktikan perkara tersebut.

2. SOP tersebut hanya dilonggarkan dan tidak lagi diikuti setelah jumlah jangkitan positif COVID-19 jatuh mendadak seminggu dua yang lalu (gambar terakhir ialah gambar solat Subuh di Al-Aqsa dua hari lepas). Akhbar The Washington Post melaporkan daripada sekitar 10,000 kes sehari di Israel, kini hanya 140 kes sahaja didapati setiap hari iaitu sekitar 3% sahaja daripada mereka yang diuji didapati positif covid.

3. Penduduk Al-Quds juga pantas untuk kembali kepada saf yang rapat kerana punya alasan keselamatan. Bila mereka solat dalam kumpulan yang ramai dan rapat (misalnya 70,000 orang telah solat di Masjid Al-Aqsa ketika solat Jumaat pertama Ramadan), ia menyukarkan pihak keselamatan penjajah sama ada polis atau tentera untuk menyerang dan membuat tangkapan. Macam kita yang buat saf ketika demonstrasi amanlah, ramai dan rapat lebih selamat daripada bergerak seorang diri.

4. Kami di Gaza sehingga kini masih lagi menjarakkan saf malah masjid ditutup pada waktu malam kerana jumlah kes mencecah 1500 kes sehari. Adakah ini bermakna kami lebih Yahudi daripada penduduk Al-Quds kerana mengikut SOP sesat??

5. Maka soalnya kita di Malaysia, apa alasan untuk kita menolak SOP? Adakah jumlah kes positif COVID-19 sudah turun? Adakah 60% penduduk sudah terlindung dari COVID? Atau adakah setiap waktu masjid kalian diserang Zionis yang merempuh saf untuk membuat tangkapan?

6. Apa yang paling pelik ialah bila saya mencari jawapan untuk isu ini saya langsung tidak menjumpai apa-apa berita atau kenyataan tentangnya di media tempatan. Maknanya, di sini ia bukan isu pun! Malah ia tidak dibincangkan dan penduduk mengikuti arahan autoriti tanpa banyak bertanya dan membantah.

7. Apa yang menyedihkan ialah apabila kita terlalu sibuk bercerita tentang saf solat dan SOP serta agenda illuminati, kita terlepas pandang agenda Yahudi yang sebenar. Kita tidak mengambil berat dan jarang berkongsi berita pencerobohan Masjid Al-Aqsa oleh pendatang haram, kita tidak melihat bagaimana sedikit demi sedikit tanah dan bangunan di sekeliling masjid dirampas dan dibeli, kita tidak tahu pun tentang sekatan yang dikenakan ke atas penduduk untuk masuk solat di masjid sendiri.

8. Adakah kalian tahu bahawa saat ini penduduk di Kota Al-Quds sedang bangkit dan memberontak (seperti yang saya kongsikan di post terakhir di fb)? Sejak beberapa hari lepas ratusan pemuda telah cedera dan ditangkap, setiap hari berlaku rusuhan dan pertembungan dengan penjajah. Tetapi berita seperti ini jarang viral dan dikongsikan!

9. Daripada banyak membuang masa dengan perkara yang tidak perlu, ayuh salurkan tenaga kepada perkara lebih bermanfaat. Semalam saya berhubung dengan wakil NGO kerjasama kami di Al-Quds dan mereka memaklumkan betapa kutipan tahun ini untuk membantu penduduk sangat perlahan. Ini yang sepatutnya kita kempenkan, ini yang harus kita gembleng tenaga untuk buat, khususnya dalam bulan penuh keberkatan dan rahmat ini - membantu mereka terus hidup dengan sumbangan agar dapat bertahan berdepan penjajah.

10. Melalaikan umat daripada misi sebenar dan menyibukkan mereka dengan urusan tidak perlu adalah kemuncak kejayaan Yahudi, Illuminati, Freemason, kafir harbi dan syaiton. Jangan kalian terperangkap di dalam permainan mereka ini.

Nadir Al-Nuri,
Sedekad di Palestin.

Untuk mendapatkan berita tepat dan tidak sesat tentang Palestin ikuti penulis di t.me/nadiralnuri.

Untuk menyumbang kepada mereka yang sangat memerlukan di Palestin klik ramadan4gaza.com.

Situasi Sebenar Covid di India

 Awal tahun ini, kes Covid di India adalah rendah, menyebabkan mereka berasa selamat dan berjaya mengawal Covid.

Tahun 2021 adalah tahun jatuhnya sambutan Kumbh Mela, iaitu perayaan yang disambut 12 tahun sekali. Ia biasanya dirayakan selama empat bulan dari awal Januari ke penghujung April di empat tempat suci di India.

Bersempena tahun ini ia telah  disambut pada 12 April 2021 di Haridwar dan dirancang untuk diadakan di beberapa tempat suci lain juga.

Ia juga adalah sebahagian kempen pilihanraya oleh PM mereka.

Seramai 3 ke 5 juta penduduk mengambil bahagian dalam acara keagamaan tersebut. Mereka berkumpul dan mandi disepanjang sungai suci mereka iaitu sungai Ganges. Mereka yakin upacara suci tersebut akan menghapuskan dosa dan segala jangkitan kuman termasuk jangkitan Covid.

2 minggu selepas itu, kes naik mendadak seperti roket yang dilancar ke angkasa lepas; mencacak 90° graf jangkitan mereka.

Dari hanya 1000 kes aktif di penghujung Mac, angka naik mendadak ke 1 juta kes aktif pada minggu ini dengan lebih 300,000 kes baru sehari.

Fasiliti perubatan mereka tak mampu menampung kenaikan kes yang begitu cepat. Dan ramai yang meninggal dunia sewaktu menunggu rawatan. Mayat dibakar dimerata tempat disebabkan penuhnya rumah mayat.

Sayu melihat keadaan mereka. Bayangkan ibu ayah, pasangan hidup meninggal di depan mata setelah berhari-hari tercungap-cungap seperti ikan di atas darat.

Sumber : media sosial

Kita sebenarnya sering tertipu dengan ‘trending’ media sosial

 TAHUKAH kita, sesuatu yang viral itu boleh diatur? Setiap platform media sosial (Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain) memiliki Algorithm tersendiri dalam membuatkan sesuatu perkara jadi viral. Contohnya bila sesuatu posting dapat banyak engagement dari berbagai demografi (jantina, tempat, umur, interest dan lain-lain), platform tersebut akan detect bahawa ia adalah public interest. Lalu ia akan memaparkan kepada pengguna lain dalam demografi yang serupa posting tersebut.

Ini bentuk viral secara organik. Bukan melalui bayaran advertisement. Tentera siber (cybertrooper) akan digunakan untuk melaksanakan hal ini. Pertama, setiap cybertrooper diarahkan untuk mendaftar seberapa banyak akaun palsu dengan maklumat demografi yang telah ditentukan. Kedua, mereka diarahkan pula untuk engage posting tertentu untuk trigger algorithm platform itu. Ketiga, laman web tertentu digunakan bagi menampakkan kepelbagaian sumber. Keempatinfluencer turut dilibatkan. Kelima, petik autoriti untuk respon. Ini antara resepi Viralisme.

Kini, banyak pihak menawarkan khidmat tentera siber upahan. Mereka tidak berdaftar, tetapi mereka wujud dan mencetuskan industri baru. Pelanggan utama mereka adalah orang politik, tetapi orang bisnes dan selebriti juga banyak pakai.

Justeru jangan percaya sangat sesuatu yang trending di media sosial. Viral di media sosial tak semestinya semua orang tengah sibuk pasal hal itu. Kemarahan di media sosial tak semestinya kemarahan awam sebenar.

Siapa banyak duit, boleh menang dalam perang persepsi di media sosial. Walaupun mereka minoriti, tetapi boleh menggambarkan suara majoriti di media sosial. Jalan paling baik adalah kita selidik dahulu fakta sebenar dari sumber primer dan bukti asli. Kemudian letak fakta atas pertimbangan syarak dan akal. Jika perlu, rujuk kepada pakar dalam bidang tersebut. 

Bersikap reaktif tanpa menyelidik dahulu fakta sebenar adalah sikap paling mudah untuk diperbodohkan pembohong terancang di media sosial. Untuk lawan trend ini pula, tak cukup dengan sikap memberi penjelasan keadaan sebenar sahaja. Perlu wujudkan juga skuad cybertrooper untuk melawan. Skuad yang tahu bermain dengan Algorithm. Skuad yang melaksanakan gerak kerja secara tersusun. Skuad yang menerima arahan secara jelas dan spesifik.

Apapun, bagi yang faham situasi ini akan semakin jelas apa yang Nabi gambarkan sebagai tipu daya akhir zaman. Sesuatu yang tak mampu dielak, tapi tetap perlu ditangani.

ALANG IBN SHUKRIMUN
16 Ramadhan 1442
28 April 2021 – HARAKAHDAILY 28/4/2021

 

https://harakahdaily.net/index.php/2021/04/28/kita-sebenarnya-sering-tertipu-dengan-trending-media-sosial/

 

Kedah catat prestasi kewangan terbaik, tambah rizab

 ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah berjaya mencatat prestasi kewangan memberangsangkan dengan hasil RM219 juta berbanding tahun sebelumnya cuma RM109 juta, sekali gus meningkatkan rizab negeri.

Dengan itu membolehkan bantuan khas sempena Aidil Fitri diberikan sebanyak RM1,000 seorang kepada semua kakitangan awam Kerajaan Negeri Kedah sebagaimana diumumkan sebentar tadi.

 

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu perkara itu pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mingguan di Wisma Darul Aman, hari ini.

Maklumnya, suku pertama 2021 mencatatkan kutipan agak baik berbanding tempoh sama pada tahun lalu dan peningkatan diperolehi kali ini menyaksikan hampir RM110 juta berbanding tahun sebelumnya.

Menurut beliau, peningkatan itu adalah dari kerja keras semua pihak di mana hasil dari cukai dan premium tanah adalah terbanyak setelah langkah-langkah berkaitannya dilaksanakan sebaik mungkin. 

“Kita pastikan hasil negeri hat mana yang tertulis sebagai hasil negeri kena pi kutip, kena kutiplah. Kita buat bersungguh-sungguh, tak main-main. 

“Ada yang kelulusan-kelulusan baru macam WIDAD Group, bila kita luluskan tapak pelaburan dia itu di, tapak dia kena bayar premium, dan dia dah bayar. Itulah hasil kita meningkat,” ujarnya.

Usaha juga maklumnya termasuk menyerahkan notis rampasan tanah dan tuntutan tunggakan cukai yang tidak dibayar antaranya hingga RM7 juta di mana bayaran akhirnya berjaya diperolehi.

Simpanan tetap kerajaan negeri juga maklumnya berjaya mencapai jumlah yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun ini dan beliau meletakkan penghargaan kepada seluruh kakitangan perkhidmatan awam negeri. – HARAKAHDAILY 28/4/2021

 

https://harakahdaily.net/index.php/2021/04/28/kedah-catat-prestasi-kewangan-terbaik-tambah-rizab/

 

Khabar angin kahwin penyanyi adalah fitnah, kata Annuar

 

Menteri Wilayah Persekutuan Anuar Musa menyifatkan khabar angin kononnya dia telah berkahwin dengan seorang penyanyi tanah air, yang tular di media sosial sebagai fitnah yang cuba menjatuhkan karier politiknya.

Annuar turut meluahkan rasa kesal dan terkilan dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan khabar angin yang turut menjejaskan reputasi pihak lain yang tidak berkaitan.

"Saya orang politik tak mengapalah kalau kawan-kawan nak fitnah sikit-sikit, tapi janganlah melibatkan orang lain yang juga ada keluarga.

“Setahu saya (penyanyi berkenaan) daripada keluarga yang cukup terhormat, saya kenal latar belakang mereka, kalau nak fitnah, libatkan saya sahaja jangan kaitkan orang lain," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak binaan blok tambahan Maahad Tahfiz Integrasi Madinatul Huffaz di Kuala Lumpur hari ini.

 

Annuar yang juga ahli Parlimen Ketereh berkata setakat ini dia tidak berniat untuk mengambil tindakan lanjut sebaliknya meminta pihak yang menyebarkan khabar angin berkenaan bermuhasabah.

"Walau bagaimanapun, saya doakan orang tersebut (penyebar) mengambil iktibar bulan Ramadan ini kurangkanlah perkara mungkar, saya tak nak marah-marah, elok sabar sajalah, " katanya.

Sejak Rabu, tular di Twitter kononnya Annuar, 65, dan penyanyi Nora Ariffin, 48, sudah bernikah sebagai isteri kedua, namun penyanyi berkenaan telah menafikan khabar angin tersebut.

-Bernama

 https://www.malaysiakini.com/news/572741

Thursday, April 29, 2021

BN-PAS tidak bertembung di Pahang atas semangat MN

 KUANTAN: Tiada pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dengan PAS melibatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 di Pahang berdasarkan semangat dan keikhlasan Muafakat Nasional (MN) di negeri ini.

Perkara itu dipersetujui Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang dan Pesuruhjaya PAS negeri Rosli Abdul Jabar menerusi satu kenyataan yang ditandatangani bersama hari ini.

Pimpinan MN negeri ini, menurut Wan Rosdy dan Rosli, melihat kerjasama politik itu perlu dipertahankan demi kestabilan dan kemakmuran negeri selain Pahang harus menjadi pengasas trend dan model perpaduan ummah yang padu dan jitu di Malaysia.

 

Wan Rosdy yang juga Pengerusi BN negeri berkata kedua-dua pihak juga bersetuju dengan formula mengekalkan kerusi DUN dimenangi pada PRU lalu, manakala perbincangan lanjut diperlukan bagi sembilan kerusi di bawah Pakatan Harapan (PH).

“Umno Pahang berhasrat tidak akan meletakkan calon di lapan kerusi dimenangi PAS pada PRU ke-14 dan tidak akan menyokong serta bekerjasama dengan calon yang bertanding di kerusi tersebut kecuali calon PAS.

“Begitu sebaliknya, PAS dengan berpandukan persetujuan dan pendirian PAS Pusat, tidak akan meletakkan calon di 25 kerusi DUN dimenangi Umno dan BN serta tidak akan menyokong dan bekerjasama dengan pihak lain yang bertanding di 25 kerusi itu,” katanya.

Wan Rosdy ditemui pemberita pada Majlis Iftar Bersama yang dihadiri semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada kedua-dua parti termasuk Rosli yang juga ADUN Tanjung Lumpur di kediaman rasmi Menteri Besar Pahang di sini hari ini.

Umno menang 24 kerusi daripada 42 kerusi DUN Pahang manakala satu lagi kerusi BN diperoleh menerusi MCA pada PRU ke-14.

Sementara itu, Rosli semasa ditemui berkata PAS negeri akan memaklumkan kepada pimpinan PAS Pusat supaya mereka diberikan sedikit kebebasan dalam menentukan hala tuju pada pilihan raya akan datang.

Ditanya mengenai kerjasama PAS negeri dalam Perikatan Nasional Pahang bersama Bersatu dan Gerakan, Rosli hanya berkata: “perkara akan datang dibiarkan akan datang dan bukan untuk dijawab sekarang”. – BERNAMA

 

Kerajaan komited laksana undi 18 tahun

 PUTRAJAYA: Kerajaan amat komited untuk melaksanakan umur Kelayakan Pengundi 18 tahun sebagaimana pindaan kepada peruntukan Perkara 119, Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui sebulat suara di Parlimen secara dwipartisan pada tahun 2019.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, hal ini telah dibincangkan dan disahkan dalam Mesyuarat Kabinet pada 28 April 2021 dan akan diusahakan agar dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

 

Menurutnya, susulan keputusan tersebut, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan beberapa perkara lagi berkaitan peruntukan undang-undang tertentu dan juga perkara teknikal termasuk memperkemas kini sistem perisian yang diperlukan.

“Adalah jelas melalui ketetapan yang dibuat ini menunjukkan betapa kerajaan beriltizam untuk memberi peluang kepada golongan muda yang berumur tidak kurang 18 tahun menjadi pemilih dalam Pilihan Raya Umum ke-15 mahupun dalam mana-mana pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Tambahnya, kerajaan juga yakin SPR sentiasa bersiap sedia dengan pelbagai persiapan untuk menguruskan proses pilihan raya dari segi logistik, sumber manusia serta penyesuaian berhubung prosedur operasi standard (SOP) selaras dengan norma baharu pengendalian pilihan raya ekoran penularan Covid-19 di negara ini. – HARAKAHDAILY 29/4/2021

 

https://harakahdaily.net/index.php/2021/04/29/kerajaan-komited-laksana-undi-18-tahun/