Monday, May 3, 2021

Kian sukar tampung jumlah pesakit, K'tan perlu wujudkan hospital medan

 

Peningkatan harian kes Covid-19 yang tinggi di Kelantan sejak beberapa minggu lalu menjadikan kemudahan kesihatan di negeri itu berada pada tahap kritikal, menyebabkan hospital medan perlu diwujudkan bagi menampung jumlah pesakit wabak itu.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Dr Izani Husin berkata pendekatan itu terpaksa diambil selain manambah pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC).

Katanya, sebuah hospital medan akan dibangunkan di Padang Perdana, Kota Bharu, manakala PKRC akan dibuka di Kelantan Trade Centre (KTC) yang dijangka mampu memuatkan 1,000 pesakit dalam masa terdekat.

"Fasiliti di Kelantan sama ada membabitkan peralatan hospital serta PKRC sudah hampir penuh dan dalam keadaan kritikal.

"Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital juga sudah mencecah hampir 100 peratus sehingga pesakit ICU terpaksa ditempatkan di wad biasa. Peralatan ventilator sebanyak 60 unit kini hanya berbaki lima unit sahaja dan ia menimbulkan kebimbangan.

"Selain itu PKRC sedia ada juga sudah hampir penuh, jadi hospital medan serta PKRC yang akan dibuka ini hanya mampu bertahan beberapa hari sahaja sekiranya kes Covid-19 tidak menunjukkan penurunan," katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) di Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bharu, hari ini.

 

Dalam mesyuarat JKKN hari ini, kata Izani, pihaknya mengadakan perbincangan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mendapatkan anggaran kos.

Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan pula akan meneliti lokasi yang dicadangkan, katanya.

Tambahnya lagi, Kelantan juga dibimbangi berdepan masalah kekurangan kakitangan kesihatan sekiranya peningkatan kes yang jumlah yang tinggi berterusan.

"Kita akan berdepan banyak masalah sekiranya kes semakin banyak. Jika lebih banyak PKRC dibuka, pastinya lebih ramai petugas kesihatan diperlukan," katanya.

Katanya lagi, kerajaan negeri juga terpaksa memohon bantuan kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dari negeri lain.

Sementara itu dalam perkembangan sama Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Zaini Hussin turut memaklumkan Kelantan menerima petugas kesihatan dari negeri-negeri lain.

Katanya, KKM sentiasa membuat pemantauan khususnya membabitkan keperluan dan bantuan yang diperlukan dari semasa ke semasa.

Menurut Bernama hari ini, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata KKM sedang berbincang dengan Kementerian Pertahanan untuk mewujudkan hospital medan di Kelantan dan Sarawak.

Seramai 800 petugas tambahan juga digerakkan ke dua negeri itu, katanya.

 malaysiakini.com/news/573176

No comments: